Friday, 16 March 2012

Pergolakan di Mesir : Persamaan, perbezaan di Malaysia & Kesempatan politik

APABILA terjadinya kebangkitan rakyat Mesir menentang Hosni Mubarak secara besar-besaran di Mesir.
di Malaysia pula kedua-dua belah pihak iaitu parti yang memerintah dan pembangkang pastinya sama 
ada secara senyap-senyap atau terang-terang membuat perbandingan dan bertanya terdapatkah apa-apa 
persamaan ataupun perbezaan di antara kedua-dua buah negara.Soalan pokok yang mahu dicari jawapan:
 Bolehkah apa yang terjadi di Mesir berlaku di Malaysia?Secara pandangan mata kasar, beberapa persamaan memang ada.
Pertama, persamaan paling jelas adalah kedua-dua buah negara mempunyai penduduk majoriti beragama Islam. Bagaimanapun kalau berdasarkan laporan media yang tidak sering putus, faktor agama semata-mata bukanlah yang paling penting dalam mencetus kebangkitan rakyat Mesir.
Para penunjuk perasaan terdiri daripada orang Islam dan juga Kristian Koptik. Oleh itu, persamaan dari segi agama ini mungkin boleh dianggap sebagai tidak begitu relevan dalam usaha untuk menjawab soalan pokok yang dinyatakan di atas.
Kedua, tempoh pemerintahan rejim yang menjadi sasaran protes. Di sini ada persamaan dan juga perbezaan. Di Mesir, usia rejim Mubarak telah menjangkau tiga dekad sementara di Malaysia pula tampuk pemerintahan negara telah dipegang selama lebih lima dekad oleh parti yang sama iaitu Barisan Nasional/Perikatan, yakni sejak negara merdeka.
Sekiranya dipandang dari sudut ini, memanglah ada persamaannya. Bagaimanapun, di Malaysia orang yang memegang jawatan ketua eksekutif, iaitu perdana menteri, telah bertukar sebanyak lima kali dan tidak seperti Mubarak di Mesir yang terus menerus memerintah negaranya selama hampir 30 tahun.
Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, baru dua tahun memegang jawatan tersebut. Ini adalah satu perbezaan. Kemarahan dan kemuakan rakyat Mesir dapat ditumpukan kepada keperibadian Mubarak kerana dia telah begitu lama memerintah negara itu dan boleh dianggap punca segala kelemahan dan kesusahan masyarakat Mesir.Ketiga, kepincangan masyarakat yang menjadi bahan dan sebab musabab protes. 
Di dalam hal ini, terdapat banyak persamaan di antara Mesir dan Malaysia.
Korupsi dan penyelewengan kuasa adalah isu yang mendapat perhatian dan menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat, baik di Mesir, baik di negara ini. Dan ia bukanlah perkara baru dalam mencetus kemarahan rakyat. Amalan korupsi memang terdapat di kedua-dua buah negara. Janji pemerintah untuk membasmi korupsi secara serius jika tidak dikotakan pasti akan menambahkan kebencian rakyat. Apatah lagi sekiranya yang mengamal rasuah dan kronisma adalah pemerintah itu sendiri.  
Di dalam aspek ini, sudah pasti di Malaysia, ada juga yang akan beranggapan dari segi korupsi tiada bezanya dengan Mesir. Cuma sejauh manakah amalan itu berlaku di Malaysia jika dibandingkan dengan Mesir.
Selepas berbicara tentang persamaan yang mungkin ada di antara Mesir dan Malaysia, apa pula perbezaan yang dapat dikenalpasti?
Di Mesir, pilihan raya yang telah dijalankan rata-rata dipersoal dan dicurigai kredibilitinya, terutama sekali yang telah diadakan pada November dan Disember 2010. Di dalam pilihan raya itu, Mubarak telah diumumkan mendapat 97% undi sokongan dari para pengundi Mesir, satu keputusan yang tidak dipercayai oleh rakyat Mesir sendiri. Oleh sebab proses pilihan raya dianggap tidak boleh dipakai sebagai mewakili sentimen dan kehendak rakyat, maka pilihan yang tinggal adalah demonstrasi jalanan.
Di Malaysia, pilihan raya secara umumnya masih boleh dianggap sebagai bebas (free), walaupun terdapat beberapa tandatanya sama ada ia boleh dianggap adil (fair). Perkara-perkara seperti undi pos dan daftar pengundi yang kurang kemas serta penguatkuasaan peraturan pilihan raya yang tidak konsisten menjadi asas kritikan bahawa proses pilihan raya di Malaysia adalah kurang adil.
Bagaimanapun, berdasarkan pilihan raya 2008, yang mana parti pemerintah telah kalah di banyak kerusi dan negeri, pilihan raya di Malaysia boleh dikira masih bebas dan mempunyai potensi sebagai cara untuk rakyat menukar kerajaan. Jadi, di dalam aspek ini, perbezaan ini berbanding Mesir mungkin akan mengurangkan kebarangkalian protes jalanan besar-besaran berlaku di Malaysia sebagai salah satu kaedah untuk ‘regime change’.
Sekiranya terjadi atau meletusnya kebangkitan rakyat Malaysia, seperti yang terjadi di Mesir, apa pula faktor yang boleh membawa kepada kejayaan aspirasi rakyat ataupun sebaliknya, yakni kegagalan?
Perkara paling ketara yang dapat diperhatikan sepanjang revolusi yang bermula pada 25 Januari 2011 di Mesir adalah kebijaksanaan dan disiplin golongan penentang rejim Mubarak, terutamanya Ikhwan Muslimin, dalam keengganan mereka untuk menjadi opportunis politik dan menggunakan gerakan protes rakyat tersebut sebagai satu cara atau vehicle untuk merebut kuasa politik.
Ini adalah disebabkan kesedaran dan pegangan di kalangan mereka bahawa perubahan atau reformasi adalah lebih penting dari kuasa atau jawatan politik semata-mata.
parlimen di mesir


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...